Kafa masih intai pengganti Yusri

KOTA BHARU 19 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih lagi mencari pengganti Yusri Che Lah bagi mengemudi The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi saingan Liga Perdana 2019.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pada awalnya Kafa mempunyai calon untuk menggantikan Yusri namun terpaksa dilupakan kerana jurulatih itu masih mempunyai kontrak dengan orang lain.



Menurutnya, buat masa kini, pengarah teknikal pasukan itu, Jorg Peter Steinebrunner diberikan mandat untuk mengendalikan sesi latihan TRW buat sementara waktu.

“Dalam situasi ketika ini, kita memberikan kepercayaan kepada beliau untuk melakukan persiapan kepada pasukan berikutan kita hanya mempunyai masa sebulan lagi sebelum sepak mula sebenar.




“Kami harap masalah ini dapat diatasi dengan secepat mungkin bagi mengelakkan perkara ini menggangu persiapan pasukan,” katanya, di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kelantan terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Yusri apabila dia memilih untuk mengubah angin dengan menyertai Kuala Lumpur.

Bibi Ramjani memberitahu, Kafa sudah merancang untuk melakukan beberapa perlawanan persahabatan bagi menguji kemampuan pasukan. – UTUSAN