Mourinho terima pampasan RM118j

MANCHESTER 18 Dis. – Jose Mourinho dipecat oleh Manchester United selepas mengharungi prestasi buruk pada separuh pertama musim Liga Perdana Inggeris.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web United, kelab tersebut berkata: “Manchester United mengumumkan pengurus, Jose Mou­rinho telah meninggalkan kelab itu berkuatkuasa hari ini.



“Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Jose sepanjang khidmatnya di Manchester United dan selamat maju jaya kepadanya. Pengurus sementara akan dilantik dan menggalas tugas sehingga musim ini berakhir, dan dalam masa sama kelab juga akan meneruskan proses pencarian pengurus baharu.”

Mourinho, dirakam gambarnya tiba di Carrington pada pukul 9 pagi (5 petang waktu Malaysia), hanya beberapa minit sebelum dia dipecat, hari ini. Ekoran pemecatan tersebut, Mourinho dijangka menerima bayaran ganti rugi sebanyak 22.5 juta pound (RM118 juta) memandangkan Red Devils masih lagi beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Zinedine Zidane dan Mauricio Pochettino antara calon yang disebut-sebut menggantikan warga Portugal itu, sementara penolong jurulatih, Michael Carrick mungkin menjadi pilihan popular untuk menggalas tugas sebagai pengurus sementara.

Para pemain diberi cuti rehat selama sehari, tetapi pemecatan Mourinho telah menjadi perbualan sesama mereka. Suasana di kelab difahamkan begitu terdesak dan Mourinho dikatakan hampir tidak mendapat sokongan di bilik persalinan sebelum pemecatannya, hari ini.

Berita tentang penyambu­ngan kontrak Anthony Martial selama 12 bulan lagi telah tersebar, hari ini, dan keputusan dibuat United itu sama seperti mereka lakukan terhadap David de Gea, bulan lalu. Dikhabarkan rundingan dengan kedua-dua pemain berkenaan akan menjadi lebih mudah jika Mourinho tidak lagi menguruskan kelab. – AGENSI