Sudah tentu saya mahu beraksi bersama Akhyar, Safawi – Wan Kuzain

KUALA LUMPUR: Adakah pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal memberi bayangan dia bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan?



Anak Melayu yang beraksi dengan pasukan simpanan Sporting KC, Swope Park Rangers itu mendedahkan dia menyimpan hasrat untuk beraksi bersama dua pemain muda negara iaitu bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid dan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid.

Ketika dia belum lagi beraksi bersama skuad senior Amerika Syarikat, pemain berusia 20 tahun itu masih layak mewakili negara memandangkan ibu bapanya rakyat Malaysia.

“Dua pemain Malaysia menarik minat saya iaitu Akhyar dan Safawi kerana mereka menunjukkan aksi yang begitu berani dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi pertahanan lawan.

“Saya mahu menjadi pemain dengan kriteria sebegitu dan sudah tentu saya mahu beraksi bersama mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra di Sunway Pyramid, hari ini.

Dia turut mengikuti perkembangan rapat skuad kebangsaan dan mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan negara meraih gelaran naib juara Piala AFF 2018, minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain yang mendapat gelaran ‘Maestro’ dalam kalangan rakan sepasukannya itu mengakui dia masih berbelah bagi sama ada mahu mewakili Amerika Syarikat atau Malaysia.

“Saya tidak menutup mana-mana pintu. Saya boleh mewakili Amerika Syarikat tapi keluarga saya orang Malaysia. Saya mahu memberikan sesuatu kepada keluarga yang sentiasa menyokong karier saya.

“Buat masa ini, ia 50-50. Namun saya akan membuat keputusan terbaik apabila tiba masanya nanti.

“Apa pun, impian utama saya semestinya untuk terus bersama Sporting KC. Ini detik terbaik buat saya dan saya mahu melangkah lebih jauh dalam karier saya,” katanya.