Arsenal, Spurs didenda RM504,597

LONDON: Arsenal dan Tottenham Hotspur masing-masing didenda dengan jumlah keseluruhan 95,000 pound (RM504,597) selepas didapati gagal mengawal tingkah laku pemain mereka pada aksi jiran tetangga dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kata kenyataan Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris, awal pagi tadi.



Reaksi pemain tengah Spurs, Eric Dier ketika meraikan jaringannya mencetuskan kontroversi sehingga berlaku pergaduhan dengan pemain simpanan Arsenal yang berang dengan tindakan itu.

Dalam perlawanan itu, Spurs tewas 2-4 di tangan Arsenal.

“Arsenal dan Tottenham Hotspur masing-masing didenda sebanyak 45,000 pound (RM238,990) dan 50,000 pound (RM265,545) selepas kedua-dua kelab mengakui gagal mengawal tingkah laku pemain mereka,” kata kenyataan FA Inggeris.

Gol penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyan selain Alexandre Lacazette dan Lucas Torreira membantu Arsenal memadam gol jaringan Dier dan Harry Kane bagi memastikan The Gunners memenangi perlawanan berkenaan.




Aksi ‘panas’ di Stadium Emirates itu turut menyaksikan penyokong Spurs melontar kulit pisang selepas Aubameyang menjaringkan gol. Spurs berjanji akan mengambil tindakan ke atas pelaku itu.

Pihak polis turut mendakwa empat lelaki susulan insiden yang berlaku selepas perlawanan.

Perlawanan suku akhir Piala Liga, awal pagi semalam membabitkan kedua-dua pasukan turut mencetuskan kontroversi apabila pemain Spurs, Dele Alli terkena balingan botol daripada penyokong selepas dia menjaringkan gol kedua.

Arsenal mengesahkan mereka sudah mengenal pasti imej individu yang membaling botol kepada Alli. – REUTERS