Hadi Fayyadh berjaya pikat Fagiano Okayama

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Percubaan kedua Hadi Fayyadh Abdul Razak menjalani sesi ujian bersama Fagiano Okayama akhirnya berbaloi apabila dia diterima beraksi buat kelab Jepun itu.



Fagiano yang bertanding dalam Divisyen Dua Liga Jepun (J2) menawarkan kontrak setahun kepada penyerang tinggi lampai itu selepas dia menjalani dua sesi latihan pada September dan November lalu.

Hadi Fayyadh yang menandatangani kontrak bersama pasukan itu di Pusat Latihan Masada, Okayama hari ini mengakui teruja kerana impiannya sejak kecil untuk beraksi di Jepun menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira kerana telah berjaya menempatkan diri dalam kelab ini.

“lni cita-cita saya sejak kecil dan satu permulaan baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Sebagaimana yang kita tahu, Jepun antara pasukan bola sepak terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan yang tersusun.

“Peluang yang saya peroleh ini akan saya gunakan sehabis baik demi masa depan yang lebih gemilang dalam bola sepak,” kata Hadi Fayyadh yang dipetik dalam Sportflex Malaysia.

Hadi Fayyadh juga menyifatkan peluang ini adalah medan terbaik untuk meningkatkan prestasi diri selain mengucapkan penghargaan kepada pihak Yakult Malaysia atas usaha mereka membantunya mendapat tempat di Jepun.

“Pemain-pemain di sini sangat bagus, berani untuk belajar benda baharu dan tidak takut membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran baik, laju dan saya merasakan saya boleh menjadi pemain yang baik jika bersama mereka di sini.

“Sasaran saya seterusnya adalah untuk meningkatkan kemahiran yang ada agar mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam perlawanan yang akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M), Hiroshi Hamasa menyifatkan kejayaan Hadi Fayyadh mendapat tempat bersama kelab Fagiano Okayama adalah hasil kerja kuat Hadi sepanjang latihan dan merupakan kejayaan sulung buat pemain Malaysia.

“Saya di maklumkan oleh Pengurus Kelab Fagiano Okayama bahawa Hadi sentiasa memberikan yang terbaik dalam sesi latihan yang di adakan sehingga membuat mereka tertarik untuk mengambil Hadi untuk menyertai mereka.”

“Sebagai penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya turut berkongsi kegembiraan ini dan berharap agar kejayaan ini dapat menjadi pembuka ruang untuk lebih ramai lagi pemain Malaysia bermain di Liga Profesional Jepun.

“Kami akan sentiasa menyokong Hadi dan membantu mana-mana pemain Malaysia yang ingin mendapatkan tempat di sini,” katanya. – UTUSAN