Pemain Harimau Malaya perlu perbaiki aspek teknikal – Tan Cheng Hoe

Pasca kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin Harimau Malaya mempunyai masa depan yang cerah namun beliau menegaskan para pemain perlu memperbaiki aspek teknikal.

Jutaan rakyat Malaysia telah menyaksikan dengan sentuhan bekas pengendali Kedah ini, beliau berjaya membimbing skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.



Walaupun terpaksa akur tewas kepada Vietnam dengan agregat 3-2, rata-rata peminat dan penyokong berpuas hati dengan penampilan Malaysia pada kali ini yang mempunyai corak permainan yang baik, diterapkan falsafah bola sepak moden dan mentaliti pantang menyerah kalah walaupun ketinggalan.

“Saya lihat secara taktikal kami sudah boleh bersaing dengan cukup kompetitif tetapi kekurangan yang ada ketika ini adalah daripada aspek teknikal.”

Disamping itu, beliau turut menyedari pemain-pemain muda yang berkualiti dalam Liga Malaysia namun mereka perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama selain daripada mendapatkan lebih banyak minit permainan dalam saingan domestik.

Dan jika kedua-dua perkara tersebut dapat dibuktikan, beliau tiada masalah untuk memanggil mereka untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Namun, saya lihat ramai pemain bawah 23 (B-23) dan B-19 negara yang memiliki kualiti tetapi mereka perlukan pendedahan dan minit permainan dalam Liga Malaysia andai mahu meningkatkan keupayaan teknikal sekali gus menjadi aset kepada negara,” katanya menerusi Kosmo Online.




Selain daripada itu, Cheng Hoe turut memuji kelibat pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dalam kancah Piala AFF Suzuki lalu.

Walaupun ini merupakan pengalaman pertamanya dalam pentas antarabangsa, namun pemain berasal dari Gambia itu berjaya memberikan impak kepada skuad kebangsaan.

“Kemunculan Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama telah memberikan perkembangan positif dalam usaha meningkatkan sedikit mutu bola sepak negara.

“Namun, kita tidak boleh mengharapkan lebih memandangkan ini adalah pe­ngalaman pertamanya di peringkat antarabangsa. Secara keseluruhan, saya anggap impaknya sangat positif,” ujarnya lagi.

Oleh sebab itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang untuk merekrut beberapa lagi pemain naturalisasi untuk menguatkan pasukan Harimau Malaya untuk mencapai pelan jangka masa pendek mereka.