Isu tajaan: Piala AFF mampu jadi penyelamat?

PRESTASI baik Harimau Malaya dalam Piala AFF 2018 mungkin mempengaruhi

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yakin kepentingan negara, terutama agenda bola sepak kebangsaan akan menjadi pertimbangan Telekom Malaysia Berhad (TM) apabila membuat keputusan mengenai isu penajaan.

MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka memahami perubahan yang berlaku dalam pengurusan syarikat ­telekomumikasi itu dan akan memberi sokongan kepada mereka bagi mencari penyelesaian.



Begitu mereka percaya, setiap pihak yang menyumbang kepada pencapaian Harimau Malaya sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 baru-baru ini sudah pasti tidak mahu menarik diri daripada bola sepak tempatan.

“MFL mempunyai kepercayaan penuh kepada Unifi dan Te­lekom Malaysia (isu penajaan).

“Sebagai rakan baik TM, MFL memahami banyak perubahan sedang dilalui.

“Kami sentiasa menyokong serta memberi masa dan peluang kepada pengurusan baharu TM untuk menyelesaikan (isu) dengan mengambil langkah yang betul bagi kepentingan negara serta agenda bola sepak kebangsaan yang menjadi harapan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sejak beberapa hari lalu, Liga M dikejutkan dengan ura-ura mereka mungkin hilang RM420 juta jika TM menarik diri sebagai penaja utama musim depan, biarpun telah memeterai perjanjian sehingga tahun 2025.

Penajaan tersebut diwakili oleh Unifi, jenama konvergens utama di bawah TM sebagai penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama Piala FA dengan nilai tajaan berjumlah RM480 juta selama lapan tahun atau RM60 juta setahun.




“Di samping kegembiraan penyokong dengan perkemba­ngan bola sepak tanah air terutama prestasi Harimau Malaya ddalam Piala AFF, sudah tentu mana-mana pihak yang me­nyumbang kepada kejayaan ini tidak mungkin akan mengambil ringan sebarang keputusan menarik diri dari bola sepak tempatan,” menurut MFL lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Rama­lingam ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini memaklumkan, beliau akan mengulas lanjut mengenai perkembangan isu penajaan sebaik sahaja tiba di tanah air daripada bercuti di London, esok.

Semalam, Timbalan ­Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mahu MFL segera mencari penaja baharu untuk memastikan saingan bola sepak tempatan tidak terjejas seandainya benar TM tidak lagi menjadi penaja utama.

Utusan Malaysia juga masih gagal mendapatkan reaksi daripada TM.