Piala Liga: Peluang Chelsea balas dendam ke atas Spurs

Alli drives into the box as four Chelsea players gather around him to prevent him from scoring once again

LONDON – Penolong pengurus skuad Chelsea, Gianfranco Zola mengakui pasukannya tidak sabar untuk membalas dendam ke atas Tottenham Hotspur selepas kedua-dua pasukan itu diundi bertemu dalam peringkat separuh akhir Piala Liga England (EFL) yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Rekod tanpa kalah Chelsea musim ini te­lah dimusnahkan oleh Spurs selepas The Blues tewas 1-3 di Stadium Wembley dalam aksi Liga Perdana England bulan lalu.



Justeru, skuad kendalian Maurizio Sarri itu yang mara ke pentas separuh akhir selepas menyingkirkan Bournemouth 1-0 pada aksi suku akhir awal pagi semalam, berharap dapat menebus kekalahan tersebut apabila mereka bertemu sekali lagi dalam kempen EFL ini.

“Kami sangat gembira dengan undian ini kerana ia bermakna kami boleh membalas dendam ke atas kekalahan memalukan yang kami terima di Wembley bulan lalu.

“Saya percaya ia bakal menjadi aksi yang berbeza dan kami akan membariskan pemain terbaik untuk mengharungi perlawanan tersebut, sekali gus membawa pasukan ini ke pentas akhir,” kata Zola.

Zola turut memuji impak yang diberikan oleh Eden Ha­zard pada aksi semalam selepas perancang sensasi itu menja­ringkan gol tunggal perlawanan dan menambah koleksi peri­badinya kepada 99 gol sejak mewakili The Blues pada musim 2012.

“Dia adalah pemain yang se­ring memberi impak dan aura positif buat pasukan. Secara jujurnya, dia baru berusia 27 tahun dan perjalanan kariernya bersama kami masih jauh,” katanya. – Agensi