Tapis kualiti pemain naturalisasi – Azraai Khor

Image result for Azraai Khor

BEKAS jurulatih Kedah yang meraih dua gela­ran trebel, Mohd. Azraai Khor berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menapis terlebih dulu kualiti pemain sekiranya berhasrat memanggil mana-mana pemain import untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun depan.



Sebagai rekod, isu pemain naturalisasi semakin hangat diperkatakan selepas skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam di pentas final minggu lalu.

Ini kerana kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dilihat memberi impak positif dalam mempertingkatkan mutu serangan Harimau Malaya sepanjang kempen tersebut.

Lebih menarik, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi telah mengesahkan dua pemain import Liga Malaysia (Liga M), Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi selain pemain berdarah kacukan, Lee Tuck sedang dinilai untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan.

Bagaimanapun, Azraai tidak bersetuju dengan nama-nama yang disarankan tersebut, selain percaya pencarian pemain naturalisasi perlu dilakukan dalam jangka panjang.

“Saya anggap Guilherme (de Paula) sudah tidak sesuai lagi untuk dipanggil me­nyarung jersi kebangsaan atas faktor umurnya yang bakal mencecah 33 tahun pada musim depan.




“Sementara itu, Liridon (Krasniqi) pula masih muda dan memiliki teknik bola sepak yang baik tetapi dia dikhabarkan mempunyai sedikit sikap negatif dan masalah disiplin.

“Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh FAM sekiranya mahu memancing pemain naturalisasi baharu adalah mencari bakat muda yang menyerlah dalam Liga M untuk tempoh lima tahun seperti Sumareh dan jangan pilih sebarangan ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Mengulas lanjut, Azraai mengakui posisi kritikal untuk kesebelasan utama Harimau Malaya yang perlu diisi oleh ‘tenaga asing’­ adalah di bahagian serangan selepas dilihat tumpul dalam kejohanan Piala AFF Suzuki lepas.

“Saya lihat Sumareh masih lagi belum memiliki persefahaman bersama rakan-rakan sepasukan. Pen­ting buat pemain naturalisasi baharu negara nanti untuk menyesuaikan diri dengan falsafah dan budaya bola sepak tempatan,” katanya.