Zidane pilihan terbaik buat United

MANCHESTER – Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha percaya Zinedine Zidane merupakan calon terbaik untuk menggantikan Jose Mourinho di Old Trafford.

United kini sedang memburu pengganti Mourinho yang dipecat Rabu lalu ekoran kemerosotan prestasi pasukan itu musim ini.

Biarpun melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim, United dilaporkan sedang mengintai khidmat pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.




Zidane yang berjaya membim-bing Real Madrid meraih tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut sebelum melepaskan jawatannya turut dikaitkan dengan tugas di United.

“Saya sangat bersetuju jika Zidane dinamakan sebagai pengurus United. Dia adalah seorang pemain dan pengurus yang sangat luar biasa.

“Dia merupakan seorang yang sangat baik ketika berkomunikasi. Saya pernah mendengar ucapannya dan ia sangat mengagumkan.

“Kemampuannya memberi nafas baharu di Real tidak perlu dipertikaikan. Kesungguhan menjalankan tanggungjawab dan kualiti yang dimilikinya membuatkan ramai pihak sangat menghormati Zidane.

“Apa yang dilakukan di Real membuktikan dia layak untuk mengemudi United. Zidane tahu untuk memberi keseimbangan antara bahagian serangan dan pertahanan.

“Bagi saya, dia ialah pilihan yang terbaik. Cuma apa yang diperlukan ialah sokongan daripada semua pihak di Old Trafford. Berikannya sedikit masa untuk dia membuktikan kemampuan,” jelasnya. – Agensi