Perak ikat Zac Anderson, Muhammad Hafizul kekal

PENGURUS pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah

IPOH 26 Dis. – Bekas pemain pertahanan PKNS FC kelahiran Australia, Zac Anderson, 27, sah menyarung jersi Perak musim depan selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini.

Pafa turut mengesahkan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim kekal bersama Perak musim depan manakala khabar angin bahawa Perak mahu mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli tidak benar.



Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata, kemasukan Zac untuk menguatkan benteng pertahanan pasukan.

Katanya, pemain itu merupakan pilihan tepat untuk menambah baik beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti selepas mengharungi saingan musim lalu.

“Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim depan. Zac memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.




“Saya dengan Ketua Jurulatih, Mehmet Durakovic sudah berbincang dengan Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai keperluan untuk menguatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk menandatangani Zac,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai kekosongan satu lagi pemain import, Adly Shah berkata, pihaknya enggan terburu-buru demi mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima.

Mengenai dakwaan kononnya Perak mahu mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara, beliau berkata, dakwaan itu tidak benar.

“Begitu juga dakwaan ramai pemain Perak akan berhijrah juga tidak benar sama sekali malah penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim saya sahkan akan kekal dalam pasukan,” katanya. – UTUSAN