Saya tak perlu fikir dua kali jika ditawar sertai Harimau Malaya – Liridon Krasniqi

Image result for Liridon Krasniqi

ALOR SETAR: Bekas bintang Kedah, Liridon Krasniqi mengakui berminat dan teruja untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi selepas namanya dikaitkan bagi mewakili pasukan kebangsaan.

Krasniqi menyatakan penghargaan kepada Malaysia yang memberikannya peluang untuk mencipta nama sejak 2015 dan menegaskan dia tidak perlu berfikir dua kali sekiranya diberi penghormatan mewakili negara ini.

Krasniqi adalah antara pemain yang hampir memenuhi syarat untuk menjadi pemain naturalisasi selepas penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan pemain tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck.




Pemain kelahiran Kosovo itu bersetuju dengan perancangan Malaysia untuk terus menggunakan pemain naturalisasi yang dilihat mampu memberi kejayaan seperti dilakukan oleh negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Jerman dan Switzerland

“Saya gembira apabila mendapat tahu saya berpeluang menjadi pemain naturalisasi dan sekiranya ini berlaku, saya bertekad mahu berikan segala yang terbaik yang boleh saya curahkan untuk bola sepak Malaysia.

“Lagipun, saya sayangkan Malaysia dan dengan pengalaman selama selama empat tahun, saya sudah menganggap Malaysia seperti negara kedua saya dan pastinya saya bangga sekiranya ditawarkan beraksi mewakili Malaysia.” katanya ketika dihubungi dari Munich, Jerman.

Krasniqi mengakui dia menerima tawaran daripada beberapa pasukan di Perancis dan Asia selepas kontraknya bersama Kedah tidak disambung namun belum membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya mendapat tawaran dari Malaysia, sudah pasti saya tidak akan menolak tawaran berkenaan kerana saya mahu menyertai skuad Malaysia.”

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan meletakkan Liridon dalam senarai sebagai pemain naturalisasi sekali gus membolehkan pemain yang terkenal dengan julukan Mat Don itu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Namun, terdapat halangan untuk menjadikan Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh kerana khidmatnya tidak dikekalkan oleh Kedah untuk musim depan.

Ini kerana mengikut peraturan dia yang sudah beraksi selama empat musim dengan Helang Merah perlu beraksi satu musim lagi dengan mana-mana pasukan di negara ini bagi melayakkannya menjadi pemain naturalisasi negara.

Dalam perkembangan lain, Liridon juga turut memohon maaf dan kesal mengenai luahan perasaannya terhadap bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Dia menjelaskan tidak dapat mengawal perasaan marah yang didakwa berpunca dari hebahan klip video sewaktu latihan pada April yang tersebar pada bulan Ogos lalu.

“Sehingga ke hari ini saya belum membuat sebarang kenyataan dan ini kali pertama. Sebagai insan biasa kita kadangkala melakukan kesilapan dan reaksi saya terhadap Nidzam tidak sepatutnya dilakukan di mana saya gagal mengawal perasaan dan bertindak di luar kawalan.

“Saya sudah melupakan perkara itu dan tidak lagi menyimpan apa-apa perasaan marah dalam hati saya. Saya berharap Nidzam juga dapat memaafkan saya dan saya juga mahu mengucapkan selama berjaya buatnya di masa depan.

“Sebagai pemain profesional saya sudah bermain bermati-matian untuk semua jurulatih sepanjang karier saya termasuklah Nidzam,” katanya. – BH