Gol Ronaldo selamatkan Juventus

MILAN: Cristiano Ronaldo tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan lewat perlawanan ketika Juventus yang beraksi 10 pemain seri 2-2 di Atalanta awal pagi tadi untuk melonjak sembilan mata di depan Napoli di puncak carta Serie A.



Napoli kendalian Carlo Ancelotti terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan juara bertahan itu selepas pemain gantian Inter Milan, Lautaro Martinez meledak gol kemenangan 1-0 pada masa kecederaan dalam aksi tegang di San Siro.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memutuskan untuk merehatkan Ronaldo sekali gus menyaksikan bekas penyerang Real Madrid itu tidak memulakan perlawanan liga buat kali pertama sejak berpindah ke Itali, namun pemain berusia 33 tahun itu diperlukan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-78 selepas dua gol Duvan Zapata meletakkan tuan rumah di depan susulan gol sendiri Berat Djimsiti.

Jaringan Ronaldo membantu Juventus kekal tanpa kalah dalam Serie A, menjelang perlawanan terakhir sebelum rehat musim sejuk menentang Sampdoria, Sabtu ini.

“Agak memalukan kerana kami masih mahu menang, tapi pasukan ini bertindak baik,” kata Allegri.

Di Milan, Martinez menampan masuk hantaran silang pada minit ke-91 ketika Inter merapatkan jurang kepada lima mata dengan Napoli, yang berakhir dengan sembilan pemain selepas Kalidou Koulibaly dan Lorenzo Insigne dibuang padang pada lewat aksi.

Koulibaly dilayangkan kad merah 10 minit sebelum tamat selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh singkat – kad kedua kerana mengejek pengadil. Pertahanan Senegal itu berulang kali menjadi sasaran laungan perkauman daripada penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan.

“Saya menyaksikan pasukan Inter yang kuat malam ini dari mula hingga akhir. Dalam erti kata lain, kami berhak menang kerana kami banyak mengasak,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti kepada Sky Sport.

Hasrat AC Milan untuk merebut kelompok empat teratas terjejas apabila pasukan kendalian Gennaro Gattuso diikat tanpa jaringan di kelab bermasalah Frosinone.

Juara Eropah tujuh kali itu kini gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak 1984.

“Untuk menepati objektif layak ke Liga Juara-Juara kami tidak boleh beraksi seperti babak pertama,” kata Gattuso kepada DAZN, pasukannya tergelincir ke tangga keenam. – AFP