Liverpool selesa belasah Newcastle, Klopp minta bertenang

LIVERPOOL, England: Juergen Klopp meminta semua bertenang selepas kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Newcastle yang mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata.

Liverpool menanti sejak 1990 untuk menjuarai liga utama Inggeris itu dan musim ini peluang terbaik buat mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 28 tahun.



Kemenangan ke atas Newcastle di Anfield itu dicetus jaringan empat pemain berbeza – Dejan Lovren, Mohamed Salah, Xherdan Shaqiri dan Fabinho.

Liverpool juga dibantu dengan prestasi merosot Manchester City apabila juara bertahan itu tewas 1-2 di Leicester, sekali gus melebarkan jurang anak buah Klopp ke atas pesaing terdekat – Tottenham – yang memintas City susulan kemenangan 5-0 ke atas Bournemouth.

Bagaimanapun Klopp tidak mahu hanyut dengan kedudukan liga Liverpool ketika ini, sebaliknya pengendali dari Jerman itu pantas meredakan keadaan.

“Kelebihan enam mata tidak ada makna,” kata Klopp.

“Kami berdepan Arsenal dan City. Memang bagus apabila kami mempunyai kelebihan enam mata ke atas pasukan lain atau tujuh tapi setakat itu saja.

“Apa yang kami mahu lakukan setiap kali adalah menyediakan asas yang kukuh untuk baki perlawanan musim ini. Sekarang bahagian pertama sudah berakhir. Kami mahu mencipta sejarah tersendiri.

“Ini skuad pertama Liverpool yang belum tewas pada babak pertama Liga Perdana. Kami dibolosi tujuh gol tapi masih ada 19 perlawanan untuk diharungi.” – AFP