Penyokong Kelantan ikut Piya ke Perlis

Image result for Mohd. Badhri Radzi

KOTA BHARU 27 Dis. – Penyertaan bekas jeneral padang The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi ke Perlis untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 dilihat tidak berseorangan.



Pemergian Mohd. Badhri atau Piya itu turut ‘membawa’ penyokong Kelantan untuk menemaninya bagi untuk menabur bakti bersama Singa Utara dalam saingan liga musim depan.

Situasi itu dapat dilihat apabila penyokong dan peminat Kelantan mula membanjiri laman sosial rasmi facebook milik pasukan Perlis iaitu NorthernLions Perlis.

Situasi itu memberikan isyarat bahawa bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 masih mempunyai ‘aura’.

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu merupakan salah seorang tulang belakang TRW ketika merangkul kejuaraan trebel musim 2012 lalu.

Musim 2018 menjadi ‘titik hitam’ buat Piya apabila Kelantan membuat kejutan dengan mengugurkannya pada pertengahan musim sekaligus menenggelamkan nama jeneral padang The Red Warriors itu.

Sungguhpun begitu, auara Piya dalam sukan bola sepak masih belum terpadam meskipun usianya sudah mencecah 36 tahun.

Namun secara tiba-tiba, nama Piya kembali ‘timbul’ apabila Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melamarnya untuk menyertai pasukan berkenaan.-UTUSAN