JDT, Pahang dan Kedah ke Thailand untuk perlawanan pramusim 2019

Thailand nyata menjadi pilihan buat pasukan Liga Super Malaysia untuk mengadakan perlawanan pramusim 2019. Corak permainan, tahap bola sepak yang berkualiti dan jarak yang tidak terlalu jauh pastinya menjadi asbab negara tersebut menjadi pilihan.

Perlawanan pramusim juga menjadi medan buat barisan kejurulatihan menguji taktikal dan membentuk keserasian antara pemain. Selain itu, ia menjadi waktu untuk mempersiapkan pasukan mengharungi saingan domestik yang kian mencabar tahun demi tahun.



Selain pasukan Selangor di bawah kendalian B. Sathianathan, kini tiga buah lagi pasukan turut ke negara ‘Gajah Perang’ untuk menguji pasukan masing-masing. Mereka adalah juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Piala FA 2018, Pahang dan akhir sekali Kedah.

JDT telah merancang 3 buah perlawanan persahabatan dengan bertemu Ratchaburi Mitrphol FC, Bangkok United FC dan PTT Rayong FC bermula 17hb hingga 23hb Januari. Bangkok United merupakan naib juara Liga Thai 1 dan PTT Rayong FC pula merupakan juara divisyen dua bola sepak Thailand musim 2018.

Setelah mengikat dua pemain import, JDT semestinya menjadikan perlawanan pramusim ini untuk mempersiapkan anak buah Luciano Figueroa untuk kempen sulung Liga Juara-Juara AFC dan juga misi mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Manakala pasukan Pahang pula dilaporkan akan ke Thailand untuk aksi persahabatan pramusim mengikut laporan daripada Berita Harian. Namun tiada sebarang maklumat mengenai pasukan mana yang akan mereka bertemu. Apa yang pasti, skuad kendalian Dollah Salleh ini akan ke sana pada bulan Januari untuk menilai prestasi pemain tempatan dan juga import.




Hadir dengan status juara Piala FA 2018, skuad dengan julukan Tok Gajah ini mengekalkan hampir keseluruhan pemain tempatan mereka untuk musim 2019. Hanya pemain import yang menjadi buruan mereka ketika ini dengan dua nama sedang berlatih bersama iaitu Errol Stevens dari Jamaica dan Lee Chang Hoon, bekas pemain Melaka United.

Akhir sekali adalah pasukan dengan julukan Helang Merah. Berdasarkan muat naik di laman media sosial mereka, Kedah mengatur perlawanan persahabatan di negara jiran dengan tiga buah kelab iaitu Buriram United (juara Liga Thai 1), Krabi FC dan Suratthani FC (Liga Thai 3). Perlawanan dijadualkan pada 19hb, 21hb dan 23hb Januari 2019.

Pasukan yang sedang dibina kembali oleh jurulatih baharu, Aidil Sharin Sahak dengan beberapa muka baharu melibatkan lima pemain import dan beberapa pemain tempatan. Perlawanan pramusim kali ini pastinya akan digunakan sebaiknya oleh bekas jurulatih Home United untuk membina keserasian tatkala jangkaan tinggi peminat untuk melihat Kedah kembali berbisa selepas mengharungi kempen suram pada musim 2018. – foxsport