Shahrel Fikri sukar buat keputusan

Shahrel Fikri sukar buat keputusan 

Beberapa syarat yang dikenakan membuat pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, menangguhkan tempoh untuk membuat keputusan sama ada menyertai Perak atau tidak bagi musim 2019.

Susulan penampilan cemerlang bersama PKNP FC sehingga dipinjamkan ke kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC, musim lalu, timbul desas-desus Perak akan mendapatkan khidmat penyerang berusia 24 tahun itu.



Namun, ekoran banyak syarat yang perlu diteliti, Shahrel terpaksa menangguhkan usaha dalam membuat keputusan memilih majikan bagi kempen 2019.

“Ada syarat tertentu yang dikenakan terhadap saya jika menyertai Perak.

“Justeru saya rasa perlu ada rundingan semula untuk melerai kekusutan yang berlaku, ” katanya yang berharap dapat berjumpa pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, selepas kembali daripada berbulan madu di Langkawi.

Kapten PKNP yang lebih dikenali sebagai Eki itu berkata dia mahu membuat keputusan terbaik bagi menjamin kecemerlangan kerjayanya.

“Saya tidak mahu buat keputusan terburu-buru yang akan menjejaskan masa depan saya kerana kini sudah ada tanggungjawab,” tambah Shahrel yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Nur Hazwani Mohd Rasid
22 Disember lalu.

Dalam masa sama, pemain yang mempunyai kontrak sehingga 2020 dengan PKNP mengakui masih sayangkan majikan yang telah banyak berjasa kepadanya.

“Saya banyak terhutang budi kepada PKNP kerana menjadikan saya seperti sekarang.

“Jadi, jika boleh, saya mahu membalas jasa mereka terlebih dahulu selepas hanya berkhidmat selama lima bulan bagi tahun ini kerana menyertai Nakhon Ratchasima secara pinjaman.”

Shahrel juga mengakui mahu menyarung jersi The Bos Gaurus dan berharap tidak dikenakan tekanan supaya berbuat demikian segera.

“Mungkin saya boleh menyertai Perak semasa jendela perpindahan kedua nanti,” tambah Shahrel.

Selain dirinya, seorang lagi pemain Kelab Konglomerat itu yang diburu Perak ialah Muhammad Hafiz Ramdan.

Bagaimanapun, Adly menjelaskan Hafiz yang masih mengalami kecederaan mungkin menyertai Perak ketika jendela perpindahan kedua nanti.