KAFA terdesak cari duit RM3 juta

PRESIDEN – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan me­ngakui pasukan The Red Warriors (TRW) semakin ter­desak untuk mencari dana sekurang-kurangnya RM3 juta lagi untuk bersaing secara kompetitif pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.



Katanya, dana menerusi geran agihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebanyak RM1 juta tidak mencukupi buat pasukan Kelantan bersaing pada Liga Premier yang akan membuka tirai sebulan lagi.

“Kami amat mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk tampil menaja skuad Kelantan kerana pihak pengurusan memerlukan sekurang-kurang­nya RM3 juta lagi untuk mentadbir pasukan de­ngan baik musim depan.

“Kami meletakkan sasaran buat pasukan untuk mendapat tempat dua teratas Liga Premier 2019 sekali gus dapat kenaikan ke Liga Super musim 2020.

“Geran RM1 juta yang kami dapat daripada MFL serta penaja sedia ada masih belum cukup untuk kami bersaing dengan kompetitif memandangkan pasukan lain sudah membuat persiapan cukup rapi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, ahli perniagaan tersebut turut mengesahkan sedang menilai beberapa calon jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan Kelantan sebelum tirai Liga Premier dibuka secara rasmi 1 Februari depan.




“Kami sedang berusaha untuk mencari jurulatih tempatan yang berpotensi untuk mengemudi pasukan Kelantan bagi saingan musim depan.

“Pasukan kini fokus de­ngan persiapan pramusim dan kami meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya di tangan pe­ngarah teknikal, Jorg Peter Steinebrunner dan penolong jurulatih, Kamarudin Muhammad sehingga pengganti Yusri Che Lah ditemui,” katanya.

Kelantan dijadualkan memulakan saingan pramusim pertama dengan menentang Terengganu FC 1 (TFC I) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 5 Januari depan.