Monaco harap dapat sambar Fabregas

MONACO: Monaco berharap dapat menandatangani pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas bulan ini.



Fabregas kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Maurizio Sarri dan hanya beraksi satu perlawanan Liga Perdana musim ini.

Kontraknya bersama kelab tamat penghujung musim dan pengurus Monaco, Thierry Henry berhasrat membawa bekas rakannya di Arsenal itu ke Perancis.

Monaco kini di kedudukan ke-19 dalam Ligue 1 dan terdesak meraih mata untuk melonjak daripada zon penyingkiran.

Monaco turut menimbangkan untuk membawa masuk Gary Cahill di samping pemain Arsenal, Laurent Koscielny dan bekas pertahanan Real Madrid, Pepe turut berada dalam radar.




Minggu lalu, Sarri bertegas menyatakan Chelsea mesti mencari pengganti Fabregas jika pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu meninggalkan kelab.

Pemain tengah itu terlepas aksi menentang Southampton awal pagi esok akibat kecederaan leher.

Sarri berkata: ‘Dalam situasi ini kami hanya ada Jorginho dan Fabregas. Menjadi masalah besar jika ketiadaan Fabregas. Saya mahu dia kekal.

“Jika Cesc pergi, kami perlu membeli pemain lain dan ia tidak mudah kerana secara teknikalnya, Cesc pemain sangat penting dan sukar mencari pemain yang mempunyai karakter seperti dia di pasaran.” – AGENSI