Cheng Hoe lulus KPI

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Tan Cheng Hoe hampir pasti kekal sebagai pe­ngendali Harimau Malaya, dan lanjutan kontraknya dijangka diumum, Rabu depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, rundingan dengan jurulatih kelahiran Kedah itu sedang dibuat, namun keputusan akan ditentukan selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.



Katanya lagi, berapa lama kontrak baharu akan diberikan kepada Cheng Hoe bergantung kepada hala tujunya dalam membawa pasukan, terutama sepanjang tempoh dua tahun yang dianggap amat mencabar kerana perlu mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 dan Piala Dunia 2022.

“Kami kini dalam proses rundingan dengan Cheng Hoe dan perkara itu akan diselesaikan dalam minggu ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan akan memutuskan kedudukannya (Cheng Hoe) apabila mereka bermesyuarat Rabu ini. Selepas itu, kita akan umumkan keputusan.

“Itu (tempoh kontrak) antara topik perbincangan dengan Cheng Hoe. Kami akan umumkan hari Rabu ini selepas mendapat keputusan daripada komuniti pengurusan pasukan kebangsaan.

“Kami harap satu keputusan ‘menang-menang’ antara jurulatih dan FAM dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.

Kontrak pengendali skuad Harimau Malaya itu berakhir 31 Disember lalu dan kebanyakan peminat serta pemerhati bola sepak mengharapkan FAM memberi sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk Cheng Hoe membuktikan kemampuannya.




Tambahnya lagi, secara dasarnya Cheng Hoe telah melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan de­ngan membimbing pasukan kebangsaan mara ke final Piala AFF 2018.

“Daripada segi prestasi dan kendalian Cheng Hoe sebagai jurulatih kebangsaan, FAM sangat berpuas hati dan beliau sememang­nya telah menjalankan tugas dengan baik.

“Kami sekarang tengah berbincang hala tuju beliau bagi tahun 2019 dan 2020.

“Sebab kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia akan berlangsung dan dua tahun ini sangat penting untuk kita.

“Setelah persembahan yang baik ditunjukkan pada Piala AFF 2018, kami juga ingin tahu hala tuju jurulatih Cheng Hoe dalam setahun dua itu dan dengan itu kami boleh buat keputusan,” kata Stuart lagi.