Samurai Biru lebih berpotensi juarai Piala Asia

Image result for jepun squad

ABU DHABI: Ketika ramai menjangkakan Korea Selatan memiliki ramuan untuk bergelar juara, bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier menggambarkan skuad Samurai Biru mampu mencipta kejutan pada Piala Asia 2019.



Troussier yang mengemudi Jepun menjulang Piala Asia pada 2000 berkata, Samurai Biru ketika ini memiliki ramuan terbaik untuk bergelar juara dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman yang dibuktikan ketika Piala Dunia Russia tahun lalu.

“Di atas kertas, Jepun memiliki salah satu pasukan terbaik pada kejohanan ini,” kata pengendali kelahiran Perancis itu sebelum sepak mula kejohanan yang menemukan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertemu Bahrain, esok.

“Sudah tentu pasukan seperti Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi memiliki cita-cita yang sama, tapi Jepun berpotensi untuk memenangi gelaran.

“Kemampuan Jepun mara ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia turut melonjakkan keyakinan mereka. Ia juga peluang baik buat mereka menyediakan generasi lebih muda bagi Piala Dunia berikutnya pada 2022.”




Pada Piala Dunia 2018, skuad Samurai Biru membuktikan kemampuan mereka dengan mara ke peringkat kalah mati selepas mencipta kontroversi memecat jurulatihnya, Vahid Halilhodzic sebelum kejohanan berlangsung.

Kebangkitan mengejut Belgium menghalang Jepun daripada mara ke suku akhir di bawah kendalian jurulatih sementara, Akira Nishino justeru pertahanan veteran, Yuto Nagatomo menegaskan lebih banyak kejayaan mampu dicapai.

“Kami perlu percaya kami boleh memenanginya,” kata Nishino yang beraksi bersama kelab gergasi Turki, Galatasaray. “Tapi semua pemain perlu bersedia.”

Begitupun jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu enggan terpengaruh dengan pendapat yang mengatakan skuad kendaliannya berpotensi menjulang gelaran Asia kali kelima.

“Kami adalah pencabar. Tugas kami cuba untuk merampas kembali gelaran,” kata bekas pemain tengah Jepun itu yang masih belum tewas sejak mengambil alih tugas daripada Nishino selepas Piala Dunia.

Sementara itu, Korea Selatan yang diketuai penyerang berbisa Tottenham, Son Heung Min dilihat sebagai calon juara sekali gus menamatkan kemarau 50 tahun negara itu untuk bergelar juara Asia.

Iran, yang muncul pasukan terbaik Asia dalam ranking dunia turut mampu memberi ancaman kepada Jepun bersama penyandang juara, Australia tetapi Jepun yang berwajah baru memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan. – AFP