Dokumen tak lengkap, macam mana nak bayar – Bibi Ramjani

Related image

KOTA BHARU 6 Jan – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan dokumen yang dikemukakan oleh bekas jeneral padang The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi berkaitan isu tunggakan gajinya itu tidak lengkap.



Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, dokumen tuntutan yang dikemukakan oleh Mohd. Badhri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini telah ditolak oleh kedua-dua badan berkenaan.

Beliau berkata, Kafa menyerahkan sepenuhnya kepada kedua-dua badan itu untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan tuntutan yang dikemukan oleh bekas pemain kebangsaan tersebut.

“Kafa sudah menjawab segala tuntutan yang telah dikemukakan oleh Mohd. Badhri.

“Kita akan pertahankan dakwaan itu berpandukan kepada dokumen-dokumen perjanjian kontrak bersama pemain tersebut,” katanya hari ini.




Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tuntutan gaji yang dibuat oleh bekas pemain Kelantan itu.

Pada 4 Januari lalu portal ini melaporkan, tindakan Kafa yang terus membisu berhubung isu tunggakan gaji disifatkan sebagai satu bentuk ‘penderaan’ oleh Mohd. Badhri.

Pemain yanh kini beraksi untuk Perlis itu mendakwa walaupun berulang kali isu tersebut dibangkitkan namun Kafa terus mengamalkan sikap lepas tangan dan tidak memanggilnya untuk berbincang bagi mencari titik persamaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Bibi Ramjani memberitahu, Kafa pernah beberapa kali mengajak pemain berkenaan untuk bersemuka mengenai tuntutan gaji berkenaan.

Katanya, bagaimanapun setiap kali di panggil Piya tidak boleh hadir untuk membincangkan soal berkenaan.

“Sebelum ini kami juga pernah panggil Mohd. Badhri untuk kembali menyertai TRW namun dia kata sudah tawar hati dengan bermain bersama Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN