Piala FA: Spurs bukan ‘tiada hati perut’

Ivory Coast international Aurier was mobbed by team-mates after Spurs took the lead in Friday's FA Cup third round clash

LONDON 5 Jan. – Mauricio Pochettino mempertahankan tindakan membawa masuk Harry Kane ketika Tottenham sudah mendahului Tranmere 6-0 dalam pusingan ketiga Piala FA selepas tindakannya dikritik hebat oleh peminat bola sepak England.



Spurs nyata bukan tandingan kelab kerdil divisyen empat itu apabila berpesta gol 7-0 di Prenton Park, sekali gus melangkah ke pusingan keempat.

Tegas Pochettino, tindakan memasukkan Kane pada minit ke-76 adalah sebagai penghormatan kepada penyokong Tranmere untuk melihat aksi ikon bola sepak England itu.

Kane menjaringkan gol pada minit ke-82 manakala Fernando Llorente meledak hatrik di minit ke-48, 71 dan 72.

Tiga lagi jaringan Tottenham disempurnakan Serge Aurier (minit ke-40 dan 55) serta Son Heung-min (minit ke-57).

“Seperti semua pertandingan lain, kami mengambil serius perlawanan ini.

“Sudah tentu, kadangkala anda boleh menang dan ada masanya mungkin kalah tetapi dalam apa jua situasi, anda kena tunjuk rasa hormat kepada pertandingan serta penonton.

“Ia juga penting buat Kane untuk menjaringkan gol dan beraksi dalam 20 minit terakhir.

“Dia adalah sebahagian daripada pasukan yang berjaya ke peringkat seterusnya,” kata jurulatih kelahiran Argentina itu.




Ketika ditanya mengenai kritikan peminat yang melihat tindakannya membawa masuk Kane sebagai tiada belas kasihan, Pochettino hanya membalas: “Ia satu penghormatan.

“Kita perlu menghormati peminat, menghormati lawan.

“Tidak semua orang berpeluang melihat Harry Kane beraksi di sini, dalam pertandingan Piala FA”.

Ini adalah kemenangan terbesar Tottenham sejak membelasah Wigan 9-1 pada 2009.

Biar pun melalui jadual perlawanan yang padat sepanjang Krismas, Tottenham jelas masih ghairah pada aksi di Prenton Park itu terutama menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Chelsea pada awal pagi Rabu ini. – AGENSI