Cavani mahu ‘gantung but’ tahun 2020

BINTANG Paris Saint-Germain,Edinson Cavani mahu tamatkan kariernya

PARIS 15 Jan.- Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, memberi bayangan dia mungkin bersara selepas kontraknya tamat pada 2020.



Cavani menyertai PSG dari Napoli pada 2013 dan telah mencetak 53 gol sepanjang tiga musim pertama dan prestasinya meningkat bagi musim 2016-17 dengan menjaringkan 35 gol dalam 36 aksi Ligue 1.

Musim lalu Cavani meraih 28 gol daripada 32 aksi liga sekaligus menjadi penjaring gol terbanyak mengatasi Zlatan Ibrahimovic dengan jumlah keseluruhan 157 gol.




Meskipun meraih pelbagai kejayaan di Paris, sejak beberapa tahun yang lalu penyerang Uruguay itu sentiasa dikaitkan bakal kembali ke Serie A, tetapi Cavani masih memutuskan masa depannya dan berkemungkinan bersara selepas kontraknya berakhir.

“Saya berniat untuk kekal sehingga tamat kontrak saya dan mungkin saya sudah sampai di penghujung perjalanan selaku pemain bola sepak.

“Saya tidak tahu jika saya akan kekal beraksi selepas 2020, buat masa ini, saya mahu menamatkan kontrak bersama PSG terlebih dahulu,” kata penyerang berusia 32 tahun itu. -AGENSI