UAE, Thailand mara pusingan kalah mati

AL AIN 15 Jan.- Tuan rumah Piala Asia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) melangkah ke pusingan kalah mati selepas muncul juara Kumpulan A selepas meraih keputusan seri 1-1 dengan Thailand, awal pagi tadi.



Skuad bimbingan Alberto Zaccheroni kelihatan memiliki kelebihan daripada aspek teknikal dalam perlawanan ini, namun bergelut untuk menjaringkan gol.

Thailand pula meraih satu mata berharga untuk memastikan mereka ke pusingan seterusnya selaku naib juara.

Dalam aksi itu, Ali Mabkhout meletak UAE di hadapan seawal minit ketujuh namun Thailand berjaya menyamakan kedudukan menerusi Thitipan Puangchan empat minit sebelum berakhir aksi babak pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan seakan hilang punca untuk menghasilkan jaringan.




Keputusan seri ini menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan seterusnya manakala Bahrain turut mara ke pusingan kalah mati setelah melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas India. -AGENSI