Agihan tiket Piala FA cetus kontroversi

Image result for Manchester United fans

LONDON: Penyokong Manchester United berang apabila pengagihan tiket bagi pusingan keempat Piala FA menentang Arsenal di tempat lawan minggu hadapan akan dikurangkan.



Berdasarkan peraturan kejohanan, United diberikan sehingga 15 peratus tiket daripada kapasiti 60,000 tempat duduk di Stadium Emirates apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 25 Januari ini.

Pengagihan sepatutnya diberikan sekitar 9,000 tiket namun jurucakap Manchester United Supporters’ Trust (MUST) berkata, mereka dimaklumkan bahawa Arsenal hanya menawarkan 5,000 tiket dengan memberikan alasan keselamatan.

“Apa yang menjadikan Piala FA istimewa adalah bilangan peruntukan tiket yang lebih banyak berbanding dalam aksi liga,” kata jurucakap MUST.

“Bagi Arsenal menawarkan kurang daripada lebih kurang separuh peruntukan yang sepatutnya adalah jenaka. Perlawanan berlangsung lebih kurang 10 hari sahaja lagi dan United tidak dapat menjual tiket kepada peminat.




“Penyokong perlu menyesuaikan masa dengan jadual perlawanan yang diubah ke malam Jumaat yang tidak disenangi mereka.

Penyokong Arsenal turut menyokong tuntutan penyokong United dengan berkata mereka mengharapkan perkara yang sama jika permainan akan diadakan di Old Trafford.

Di sebalik peraturan kejohanan itu, Arsenal berkata peruntukan tiket untuk pasukan pelawat ditetapkan selepas perbincangan dengan Kumpulan Penasihat Keselamatan.

Arsenal muncul juara Piala FA 13 kali sementara United pula 12 sekali gus kedua-duanya kelab paling berjaya dalam kejohanan kalah mati tertua di dunia itu. – REUTERS