Harry Kane ‘cuti’ sehingga Mac

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane terpaksa diketepikan sehingga Mac selepas mengalami kecederaan ligamen pergelangan kaki ketika tewas kepada Manchester United, Ahad lalu.



Kane mengalami kecederaan di pergelangan kaki kirinya pada hujung perlawanan yang menyaksikan Spurs tewas 0-1 di Wembley dan ujian imbasan mengesahkan kecederaannya itu mengambil masa untuk pulih.

Ia adalah musim ketiga berturut-turut kapten England itu terlepas untuk beraksi kerana kecederaan sama.

“Berdasarkan penilaian pertama, kami mengesahkan Harry Kane mengalami kecederaan ligamen di pergelangan kaki kiri yang dialaminya ketika perlawanan bertemu Manchester United, Ahad lalu.

“Dia akan terus dipantau kakitangan perubatan kerana perlu menjalani proses pemulihan dan dijangka akan kembali menjalani latihan pada awal Mac,” kata Tottenham di dalam web rasmi kelab itu.

Kane mengalami kecederaan itu selepas bergelut dengan pertahanan United, Phil Jones dan Victor Lindelof ketika cuba mencipta gerakan untuk Tottenham pada minit-minit akhir perlawanan.




Dia kemudian menerima rawatan selepas tamat perlawanan dan dilihat berjalan keluar padang dengan situasi yang tidak selesa.

Kane menerusi akaun Twitter miliknya berkata: “Kecederaan adalah sebahagian daripada lumrah perlawanan tetapi setiap individu pasti bekerja keras untuk kembali pulih semula. Terima kasih atas segala mesej anda.”

Ketiadaan Kane pastinya satu tamparan untuk Tottenham dalam usaha mereka untuk memenangi trofi pertama di bawah bimbingan Mauricio Pochettino.

Pemain berusia 25 tahun itu adalah penjaring terbanyak Tottenham musim ini dengan 20 gol daripada 31 penampilan. – AFP