Arsenal wajib kalahkan Chelsea

Image result for Unai Emery

LONDON 18 Jan. – Arsenal tidak boleh melakukan kesilapan atau kalah lagi apabila bertemu Chelsea dalam aksi tumpuan, hujung minggu ini di Stadium Emirates pada awal pagi Ahad.



Selepas mencatat tiga ke­kalahan dalam enam perlawanan terbaharu mereka, skuad bimbingan Unai Emery itu tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan jika berhasrat untuk kembali ke kancah Liga Juara Juara Eropah, musim depan.

Setelah ketinggalan enam mata di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat liga ketika ini, Arsenal perlu me­ngurangkan jurang perbezaan tersebut untuk membuka semula peluang Gunners berada dalam kelompok empat teratas apabila tiba penghujung musim nanti.

Berbanding Chelsea yang baharu semusim tercicir, Arsenal yang sudah dua musim berturut-turut gagal layak beraksi ke Liga Juara Juara mesti mengatasi masalah terbesar mereka ketika ini iaitu benteng pertahanan yang rapuh.




Tiada pasukan dalam lima kelompok teratas dibolosi 32 gol dalam 22 perlawanan liga setakat ini kecuali Arsenal, sekaligus, membuktikan skuad bimbingan Emery itu perlu mencari pemain pertahanan baharu pada jendela perpindahan, Januari ini.

Namun, Emery sejak awal-awal lagi sudah mendedahkan kelab bimbingannya tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan tersebut, kecuali jika mendapatkan khidmat pemain berkenaan secara pinjaman.

“Kami masih mempunyai masa untuk mencapai hasrat tersebut (layak ke Liga Juara Juara). Walaupun sedar ia satu proses yang sukar, kami kena bersedia menghadapi keadaan sukar yang mendatang itu.

“Buat masa ini peluang itu masih ada. Ideanya sekarang ialah untuk meletakkan kembali Arsenal di tempat yang sepatutnya ia berada tetapi kami memerlukan masa untuk berbuat demikian,” tegas Emery. – AFP