Barcelona diskaun harga Coutinho

COUTINHO dilaporkan bersedia meninggalkan Camp Nou selepas gagal

LONDON – Pasukan gergasi Liga Perdana England (EPL), Manchester United hanya perlu mengeluarkan dana sebanyak £88 juta (RM466 juta) sekiranya berhasrat untuk menandatangani pemain Barcelona, Philippe Coutinho pada jendela perpindahan kali ini.



Difahamkan, skuad The Red Devils telah memburu khidmat Coutinho sejak awal bulan ini tetapi masih belum mendapat ‘tanda harga’ daripada pasukan gergasi La Liga itu.

Namun, sumber dalaman skuad The Catalans telah mengesahkan bahawa nilai £88 juta sebagai harga untuk mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Brazil itu.

Sebagai rekod, Coutinho merupakan salah seorang pemain berpengaruh di EPL ketika menyarung jersi Liverpool sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Barcelona dengan nilai perpindahan sebanyak £105 juta (RM555.8 juta), Januari tahun lalu.




Namun, perpindahan ke Old Trafford dipercayai hanya boleh dilakukan sekiranya United berjaya menjual beberapa pemain utama mereka seperti Antonio Valencia, Marcos Rojo dan Maroune Fellaini.

Coutinho dilaporkan berdepan masalah di Camp Nou apabila gagal memikat hati jurulatih pasukan itu, Ernesto Valverde yang kerap meletakkannya di bangku simpanan selain dia turut dilihat gagal menggantikan peranan Neymar sebelum ini.

Selain itu, Barcelona juga dilaporkan terdesak untuk mendapatkan dana yang besar bagi mendapatkan semula Neymar yang tidak gembira di Paris Saint-Germain ketika ini.