Guerra, Vathanaka mampu beri impak

CHAN VATHANAKA (kiri) Gabriel Guerra memegang mafla PKNS selepas

KUALA LUMPUR 18 JAN. Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal menyifatkan pemilihan Gabriel Guerra dan Chan Vathanaka sebagai dua import terbaharu menyertai skuad Semut Merah mampu memberi impak kepada pasukannya untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M), musim ini.



Kedua-dua nama tersebut bukan asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan kerana Gabriel, sebelum ini, pernah beraksi bersama PKNS FC selama dua musim bermula 2015 sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2017, manakala, Vathanaka bersa­ma Pahang selama separuh musim, tahun lalu.

“Saya percaya Gabby (Gabriel) mampu membawa kua­liti dan nilai kepimpinan kepada pasukan. Dia sudah tahu senario bola sepak kita, jadi saya fikir dia tidak menghadapi masalah untuk melakukannya.




“Chan pula ada kualiti tersendiri. Kita lepaskan import Faris Ramli dan menggantikan pemain seperti dia. Chan ada pengalaman beraksi bersama Pahang sebelum ini. Saya tidak boleh berkata de­ngan kemasukan dua import ini pasukan kami sudah lengkap.

“Saya harap mereka boleh menunjukkan contoh yang baik kepada pasukan. Saya tahu mereka mampu memberikan sesuatu kepada pasukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan kedua-dua import tersebut di Kompleks Sukan PKNS, hari ini.