Kedah akur kehebatan Buriram United

Image may contain: 3 people, people playing sport and outdoor

ALOR SETAR: Kedah terpaksa akur dengan aksi gerakan dan kawalan pantas ditampilkan Buriram United apabila tewas 2-0 kepada juara musim 2018 Liga Thai T1 itu dalam perlawanan pramusim Jelajah Krabi 2019 di Stadium Central, Krabi, Thailand semalam.

Perlawanan pertama merebut kejuaraan ‘Royal Trophy from Her Royal Highness Princess Bajrakitiyabha’ itu membabitkan empat pasukan iaitu Buriram United, Krabi FC, Surat Thani FC dan Kedah FA.



Pada pertembungan yang berlangsung jam 4 petang semalam, gawang skuad Lang Merah dibolosi pada minit ke -7 dan ke-29 oleh pihak lawan.

Ketinggalan di separuh masa pertama, skuad hijaukuning mempunyai 2 peluang keemasan melalui penalti Jonatan Bauman dan cubaan Fernando Rodriguez dihadapan gol yang tersasar.

Perlawanan itu juga memberi peluang kepada barisan pemain baharu menerapkan keserasian dan seterusnya menjadi medan buat skuad bimbingan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak menguji kesebelasan terbaik.

Sementara itu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris yang memuat naik kenyataannya di laman media sosial menganggap Kedah memperolehi pengalaman berharga pada pertemuan pertama aksi pramusim di Krabi, Thailand yang bermula semalam.




Image may contain: 11 people, people smiling, people standing, outdoor and text

“Semoga pengalaman ini menjadi pendedahan berharga kepada pemain dan pengurusan Kedah yang memerlukan penambahbaikan dalam skuad bagi menghadapi Liga Super tidak lama lagi.”

“Pengurusan hebat dan tahap taktikal permainan tinggi oleh Buriram United perlu dipelajari oleh pengurusan dan pemain Kedah,” katanya.

Kedah dijadualkan menentang dua lagi pasukan dari Thailand iaitu Krabi FC esok dan diikuti Surat Thani FC pada 23 Januari dengan jadual perlawanan bermula pada jam 5 petang.

Tiga perlawanan ini merupakan sebahagian daripada siri perlawanan pramusim Jelajah Krabi 2019 yang bermula dari 19 hingga 23 Januari sebelum pulang ke Alor Setar untuk persiapan persahabatan antarabangsa menentang Home United dari Singapura di Stadium Darul Aman pada 26 Januari.