Kedah kelas pemain ikut gred

ALOR SETAR 23 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memperkenalkan sistem gred gaji kepada pemainnya bagi mengimbangi kewangan persatuan itu.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, sistem yang dalam peringkat perbincangan untuk dilaksanakan itu merupakan alternatif baharu dan akan dinilai berdasarkan prestasi dan sumbangan pemain kepada pasukan.



Menurutnya, sistem berkenaan merupakan ilham daripada satu permainan video popular iaitu

jumlah gaji dibayar mengikut peringkat tertinggi seseorang pemain itu beraksi.

“Kita dalam proses untuk meletakkan gred pada masa hadapan seperti dalam permainan video ini, sama ada bermain dalam Piala Presiden, mewakili negara atau di peringkat Asia.

“Ini bermaksud apabila seseorang pemain berada di peringkat gred tertentu, dia tahu kemampuan sendiri… Dia juga tahu berapa gaji yang layak dan faedah boleh peroleh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya mendedahkan kira-kira 300 kes dilaporkan kepada mereka melibatkan isu tunggakan gaji pemain dan penamatan kontrak secara tidak sah sejak lima tahun lalu.




Mengulas lanjut, Mohd. Asmirul berkata, prinsip pentadbiran baharu KFA akan mengambil kira soal pemilihan pemain termasuk import agar tidak wujud masalah pembayaran atau penangguhan gaji pada masa depan.

Ketika ditanya adakah faktor itu menyebabkan KFA tidak menyambung kontrak bintang import mereka, Liridon Krasniqi, beliau berkata, badan induk bola sepak Kedah itu tidak akan membayar gaji terlalu tinggi yang melebihi had kemampuan persatuan.

“Justeru, saya lihat perlu ada satu sistem baharu (gred) yang mengklasifikasikan pemain mengikut kemampuan, kemahiran dan taktikal mereka bagi membolehkan berapa jumlah dia patut dapat kerana kita tidak mahu pemain meminta gaji dengan sewenang-wenangnya,” katanya.