Rasa nak benam muka dalam tanah – Milos Degenek

Image result for Milos Degenek

AL-AIN: Pertahanan Australia, Milos Degenek mengakui dia tidak dapat ‘mengangkat muka’ selepas kesilapannya menyaksikan penyandang juara Piala Asia itu disingkirkan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu pada suku akhir, semalam.



Pemain berusia 24 tahun itu tampak seperti mahu membenamkan kepalanya ke dalam padang selepas penyerang veteran Ali Mabkhout merampas bola hantaran ke belakangnya untuk meledak gol tunggal perlawanan pada babak kedua.

Tiada kebangkitan yang dapat dijana skuad kendalian Graham Arnold di Stadium Hazza Bin Zayed sekalipun menikmati penguasaan permainan selain menghasilkan 22 cubaan untuk tewas 0-1.

“Amat dahsyat untuk berada dalam situasi ini. Dahsyat untuk berdiri di sini dan menjadi diri saya,” kata Degenek. “Tapi ia adalah bola sepak dan itulah situasi yang berlaku.

“Saya tidak berasa begitu kasihan kepada diri saya tapi saya sedih kepada negara dan rakan sepasukan saya, kerana jelas kami menamatkan kejohanan ini disebabkan oleh kesilapan saya.

Image result for australia uae




“Tapi itulah kehidupan, saya perlu mengharunginya. Saya pernah berdepan situasi seperti ini sebelum ini, anda belajar, meningkat dan melupakannya.”

Degenek yang baru menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal minggu ini berkata, rakan sepasukannya memberikan kata-kata sokongan terhadapnya.

“Saya lelaki, saya boleh menerima saya melakukan kesilapan tapi itulah bola sepak. Masih banyak yang perlu saya fikirkan dalam kehidupan,” katanya.

Arnold dalam pada itu turut mengakui akan membantu Degenek, yang beraksi dengan baik sebelum melakukan kesilapan kerana pemain muda itu mempunyai masa depan yang cerah bersama Australia.

“Jelas dia yang paling terluka ketika ini tapi saya yakin dia tidak apa-apa. Dia seorang pemain yang menakjubkan. Profesional dan mempunyai masa depan yang cerah bersama skuad kebangsaan Australia,” katanya.