Piala FA: Giliran Palace singkirkan Spurs

Wilfried Zaha was involved in the action from the off, and look to quickly kick-start attacks on the Spurs defensive line

LONDON: Tottenham Hotspur mengalami kekalahan kedua dalam aksi kalah mati bola sepak England, selepas tumbang 0-2 kepada Crystal Palace dalam pertarungan pusingan keempat Piala FA, pagi tadi.



Connor Wickham meletakkan Eagles – yang ketinggalan 29 mata di belakang Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di depan seawal minit kesembilan, sebelum jaringan penalti bekas pemain sayap Tottenham, Andros Townsend menjadikan kedudukan 2-0.

Pertahanan kanan Spurs, Kieran Trippier mensia-siakan sepakan penalti sebelum tamat separuh masa pertama, sekaligus memberikan petanda Tottenham bakal mengalami malapetaka yang sama selepas kecundang kepada Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala Liga, Khamis lalu – juga menerusi penalti.

Kekalahan itu menyaksikan Mauricio Pochettino terus tercari-cari trofi sulung sejak mengambil alih pasukan pada 2014, dengan gelaran terakhir mereka hasil kejayaan memenangi Piala Liga 2008.




Ketika mereka kini ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool dalam perebutan EPL, Liga Juara-Juara kini menjadi satu-satunya trofi paling realistik untuk dimenangi Spurs.

“Ia amat menyakitkan untuk kalah perlawanan seperti ini,” kata Pochettino. “Kami perlu memberi fokus kepada aksi EPL dan Liga Juara-Juara.

“Kami tidak boleh memberi alasan lagi dan kini kami hanya perlu memberikan yang terbaik dalam dua baki saingan disertai.”

Tottenham dijadualkan berdepan Borussia Dortmund dalam aksi 16 terakhir Liga Juara Juara. – AFP