Bologna pecat Inzaghi

MILAN: Kelab bergelut di Serie A, Bologna mengumumkan mereka memecat jurulatih, Filippo Inzaghi dan menggantikannya dengan pengendali dari Serbia, Sinisa Mihajlovic, awal pagi tadi.



Jika karier Filippo Inzaghi sebagai pemain bola sepak dianggap gemilang dengan deretan kejayaan namun dia tidak dapat meneruskan kecemerlangannya itu dalam bidang kejurulatihan selepas dipecat daripada mengemudi Bologna dan tempatnya diambil alih Sinisa Mihajlovic dari Serbia.

Pemilik Bologna dari Kanada, Joey Saputo menyifatkan kekalahan 0-4 kepada satu lagi kelab bawahan, Frosinone pada aksi Ahad lalu sebagai sesuatu yang cukup menyedihkan.

Di bawah kendalian Inzaghi, 45, kelab itu cuma menang dua kali sepanjang musim ini, kali terakhir ketika menentang AS Roma dan Udinese pada September lalu dan kini hanya meraih kelebihan tiga mata di atas zon penyingkiran.

Bologna mengucapkan terima kasih kepada bekas bos AC Milan dan penyerang itu ‘di atas segala usaha yang dilakukan dan sikap profesional’ yang dipamerkan sejak tiba di Emilia-Romagna, pada Jun lalu.

Kelab itu berkata, mereka kini mengikat bekas pengendali pasukan, Mihajlovic dengan kontrak sehingga 30 Jun ini, serta pilihan menyambung kontrak sehingga musim 2019-2020.




Mihajlovic, 49, yang memulakan karier kejurulatihan sebagai pembantu kepada jurulatih skuad Azzurri, Roberto Mancini di Inter Milan pada 2006, pernah mengemudi Bologna pada musim 2008-2009.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu dipecat oleh kelab Portugal, Sporting Lisbon pada Jun lalu, hanya selepas sembilan hari memulakan tugas.

Namun, dia sebenarnya cukup berpengalaman di Itali apablla pernah mengemudi Fiorentina, Catania, Sampdoria, AC Milan dan Torino.

Sebelum ini, bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan Yugoslavia ini banyak menghabiskan karier sebagai pemain di Serie A, bersama pasukan Roma, Sampdoria, Lazio dan Inter.

Bologna, yang juga juara Itali sebanyak tujuh kali – menjulang trofi domestik itu kali terakhir pada 1964 dan Piala UEFA Intertoto pada 1998. – AFP