Tiket menonton perlawanan Melaka United hanya RM10 sepanjang musim 2019

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengumumkan penurunan harga tiket bagi menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Melaka United di Stadium Hang Jebat sepanjang musim 2019 bagi kesemua pertandingan.



Perkembangan itu dimaklumkan oleh Bendahari MUSA, Tuan Hj Yuhaizad Abdullah menerusi laman sosial MUSA sebentar sahaja tadi.

Harga tiket yang ditetapkan adalah RM10 bagi tempat duduk terbuka dan RM15 bagi kawasan ‘grandstand’. Manakala harga tiket bagi kanak-kanak adalah percuma.

“Kadar harga tiket musim ini ditetapkan lebih rendah berbanding musim lalu sebagai usaha persatuan untuk penyokong skuad Hang Tuah tidak terlalu terbeban pada setiap perlawanan membabitkan Melaka United demi sokongan buat pasukan kebanggaan negeri Melaka di stadium berkenaan.




“Semoga dengan kadar baharu ini bakal menarik lebih ramai penyokong memberikan sokongan buat pasukan pada setiap perlawanan tuan rumah Melaka United di Stadium Hang Jebat sepanjang saingan unifi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA musim 2019.” katanya menerusi laman sosial MUSA.

Untuk rekod, Stadium Hang Jebat yang terletak di Paya Rumpur, Melaka mempunyai kapasiti 40,000 tempat duduk kerusi tunggal. Ia juga mempunyai kawasan berbumbung di bahagian ‘grandstand’.

Melaka United kendalian Zainal Abidin Hassan akan memulakan aksi sulung Liga Super 2019 dengan menentang MIFA atau PJ City FC pada 2hb Februari (sabtu).