Neymar terpaksa berehat 10 minggu

NEYMAR disisihkan selama 10 minggu selepas mengalami kecederaan

PARIS 31 Jan. – Neymar akan berehat selama 10 minggu gara-gara kecederaan kaki yang akan mengetepikannya dalam kedua-dua pertemuan menentang Manchester United dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL).

Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan tempoh pemain termahal di dunia itu akan terlepas aksi setelah dikasari dalam kempen Coupe de France menentang Strasbourg, minggu lalu.



Semalam, kelab itu mengumumkan bahawa rawatan konservatif terhadap kecederaan metatarsal jari kanan kelima itu akan memaksa Neymar untuk berehat sehingga pertengahan April depan sekali gus menambah perit buat mereka yang turut kehilangan khidmat Marco Verratti sebelum ini.

Ia satu tamparan hebat buat barisan kendalian Thomas Tuchel itu yang akan kehilangan tonggak utama mereka menjelang pertemuan dengan United di Old Trafford, 12 Februari ini.

“PSG memberi sokongan dan dorongan kuat kepada Neymar Jr untuk tabah mengatasi kecederaan ini menerusi keberanian dan keazaman yang sering ditunjukkan oleh pemain,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan.




Neymar pernah ditimpa kecederaan serupa pada Februari tahun lalu yang menghalangnya daripada mengikuti baki musim 2017-18, termasuk kekalahan dalam pertemuan kedua UCL kepada juara bertahan, Real Madrid.

Dia pulih untuk kempen Piala Dunia 2018 bersama Brazil tetapi gagal mencetuskan inspirasi kepada negaranya untuk meraih gelaran keenam.

Pemain berusia 26 tahun itu sempat menderita masalah paha musim ini yang jarang berlaku ke atasnya namun dia masih mampu merakam 13 gol dalam Ligue 1 sementara lima gol disumbangkannya dalam UCL dan dua lagi dalam saingan piala domestik. – AGENSI