Selangor kembali beraksi di Shah Alam

TENGKU AMIR (empat dari kanan) bersama beberapa pemain Selangor

PENGURUS pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad memberi jaminan skuad Gergasi Merah boleh menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi sebelum sepak mula aksi pertama Liga Super 2019 bulan depan.



Menurut beliau, Sela­ngor dijangka mendapat lampu hijau bagi menggunakan stadium berkenaan selewat-lewatnya pada 1 Februari depan.

“Bagaimanapun, kita akan gunakan Stadium Shah Alam untuk latihan sebelum perlawanan pertama berdepan Felda United pada 3 Februari nanti.

“Kita faham sekarang masih ada penambahbaikan tetapi kita tetap memasang harapan yang tinggi untuk gunakan ve­nue rasmi tersebut.

“Selewat-lewatnya 1 Februari depan skuad Gergasi Merah boleh menggunakan Stadium Shah Alam.

“Itu adalah jangkaan paling lewat sebaliknya jika lebih awal kami masih tidak dapat pastikan bila,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi Selangor di Petaling Jaya kelmarin.




Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin turut hadir pada majlis pelancaran yang disaksikan oleh ratusan peminat tegar Gergasi Merah.

Skuad Gergasi Merah kini dalam proses revolusi selepas Tengku Amir mengambil alih kepimpinan FAS pada Julai lalu.

Terdahulu, jurulatih Selangor, B. Sathianathan berharap venue rasmi skuad Gergasi Merah iaitu Stadium Shah Alam dapat digunakan secepat mungkin menje­lang musim Liga Malaysia (Liga M) musim ini.