PKNP mahu buat aduan kepada FAM, Kedah bawa pulang 3 mata

PKNP mahu buat aduan kepada FAM

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) akan membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil dalam perlawanan menentang Kedah, malam tadi.



Jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, berkata beberapa keputusan pengadil dilihat meragukan, termasuk menafikan sepakan penalti yang sepatutnya diberikan kepada anak buahnya selepas bola terkena tangan pemain Kedah di dalam kotak penalti pada minit ke-78 sehingga merencatkan permainan PKNP.

Katanya, beliau juga akan turut membuat laporan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang selain memastikan mutu pengadilan yang lebih baik.

“Jika ada VAR (sistem bantuan pengadil), mungkin bola yang melantun kena tangan pemain Kedah (diberi penalti), penyokong semua boleh lihat, cuma kami dinafikan (peluang mengubah keputusan perlawanan),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah tumpas 0-2 di tangan Kedah menerusi jaringan Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-66 sebelum menambah lagi satu jaringan menerusi Jonathan Jesus Bauman pada minit ke-86.




Sementara itu, Kedah berpuas hati dapat membawa pulang tiga mata pertama dalam perlawanan pembukaan biarpun tidak mempamerkan persembahan terbaik mereka.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata pertembungan dengan skuad PKNP FC itu bukan mudah kerana pasukan itu sentiasa dibarisi pemain muda yang cergas.

“Saya akui ini bukan aksi terbaik Kedah tetapi yang paling penting, kami dapat tiga mata pertama. Kami tahu semua pasukan akan ada sedikit gementar dalam perlawanan pertama,” katanya.

Aidil Sharin juga mengakui kesebelasan yang beraksi malam tadi tidak mendapat jaminan akan terus kekal sebagai pemain tonggak dalam pasukan itu kerana beliau mahu mewujudkan persaingan sihat sesama pemain.

“Tiada kesebelasan utama dalam pasukan. Jika ada pemain simpanan yang berusaha keras, dia akan dapat tempat dalam skuad, kami nak pemain tahun ini perlu bersaing untuk mendapat tempat,” katanya.