Rajagobal berdepan penggantungan

KEADAAN tegang selepas pemain Terengganu FC dan PKNS bergaduh

KUALA TERENGGANU 2 Feb. – Gara-gara gagal mengawal emosi, Datuk. K. Rajagobal mungkin berdepan risiko digantung perlawanan jika didapati bersalah menceroboh ke dalam padang ketika permainan sedang berlangsung.

Dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam, jurulatih PKNS FC itu meluru ke padang pada minit ke-70 dan membantah keputusan pengadil meneruskan permainan ketika seorang pemainnya sedang terbaring menahan kesakitan.



“Kami menunggu laporan daripada Komisioner perlawanan dan saya perlu meneliti rakaman video insiden tersebut kerana tidak berada di tempat kejadian.

KETUA jurulatih PKNS FC,Datuk K Rajagopal

“Begitupun sekiranya didapati bersalah, penggantungan perlawanan boleh dikenakan, namun keputusan hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM (Persatuan Bola Sepak),” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md. Dali Wahid kepada Utusan Malaysia.

Sejurus tamat perlawanan, Rajagobal yang sedar tindak tanduknya menjadi perhatian memberi penjelasan kepada media bahawa dia memasuki padang hanya untuk menenangkan keadaan.

Katanya, dia terpanggil berbuat demikian bagi mengelak perlawanan menjadi lebih panas susulan gelagat import tuan rumah, Igor Zonjic yang tiba-tiba meluru ke arah pemainnya.




“Saya tidak pernah buat perkara sebegini seumur hidup saya. Ketika itu, saya nampak Igor dalam situasi dari bawah nak tolak pemain, saya fikir dalam situasi itu mungkin akan jadi lebih teruk.

“Hanya sebab itulah saya nak pergi beritahu dia kenapa berbuat demikian. (jurulatih Terengganu) Irfan Bakti (Abu Salim) pun terkejut dan meminta maaf kepada saya selepas permainan. Saya Okey,” kata bekas pengurus kebangsaan itu.

Menurut Rajagobal, kekecohan itu timbul kerana skuad Penyu meneruskan permainan ketika ada anak buahnya cedera, sekali gus mendorong pemain tengah, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali melakukan sesuatu.

Pada minit ke-69, Muhamad Faizat mengasari Muhamad Khairu Azrin Khazali selepas pemain itu tidak mengeluarkan bola daripada permainan atau ‘fair play’ ketika pemain pelawat, Romel Morales Ramirez terbaring berdekatan kawasan mereka.

Tindakan Faizat sekali gus mengundang kemarahan pemain TFC hingga tercetus tolak menolak antara kedua-dua pasukan namun, berjaya dileraikan pegawai perlawanan dan pasukan.

TFC sudah di ambang kekalahan ketika membuka tirai Liga Super 2019, namun jaringan Abdul Malik Mat Ariff, seminit sebelum tamat permainan menyelamatkan Penyu daripada dimalukan di depan penyokong sendiri selepas seri 1-1 dengan PKNS FC.

Pasukan pelawat yang sememangnya memiliki rekod baik ke atas Terengganu memulakan permainan dengan keyakinan tinggi dan membuka jaringan pada minit ke-65 menerusi Nicholas Ryan Swirad.