Hatrik Aguero benam Arsenal

Arsenal goalkeeper Bernd Leno tried desperately to claw the ball back, but it had already gone well over the goal-line

MANCHESTER, United Kingdom: Pep Guardiola gembira melihat kembalinya sentuhan baik Manchester City ketika hatrik Sergio Aguero mengurangkan jurang antara pendahulu Liga Perdana, Liverpool kepada hanya dua mata selepas kemenangan 3-1 mengatasi Arsenal awal pagi tadi.



Juara bertahan itu sedikit lega apabila Liverpool seri 1-1 berdepan Leicester pada Rabu, 24 jam selepas kekalahan mengejut 2-1 City di tangan Newcastle dalam apa disifatkan Guardiola sebagai persembahan sangat buruk.

Kali ini City mengambil kelebihan bermain sehari sebelum skuad Jurgen Klopp yang akan berkunjung ke West Ham awal pagi esok, untuk terus memberikan tekanan dan kembali di atas Tottenham, yang mengatasi mereka di tangga kedua, semalam.

“Selepas apa yang berlaku di Newcastle, semua orang merasakan kami akan berada tujuh mata di belakang, semua orang jangkakan Liverpool akan menewaskan Leicester,” kata Guardiola.

“Namun banyak yang akan berlaku sehingga penghujung musim, banyak perlawanan mencabar. Inilah Liga Perdana yang sebenar, anda lebih tahu apa yang saya maksudkan dan apa yang kami perlu lakukan.




“Perkara paling penting hari ini ialah pemain menunjukkan kenapa mereka adalah sebuah pasukan yang bagus. Kami seperti tidak kenal diri kami dalam perlawanan sebelum ini di Newcastle. Hari ini, sekurang-kurangnya kami kembali.”

Jaringan ketujuh Aguero pada 2019 – dan ke-10 berdepan Arsenal – ditampilkan dalam persembahan dominan pasukan itu.

Buat kali kedua dalam seminggu, pemain Argentina itu menjaringkan gol pada minit pertama bagi memberikan City permulaan sempurna apabila menanduk masuk hantaran Aymeric Laporte.

Bagaimanapun sama seperti berlaku di Tyneside Selasa lalu, City gagal mempertahankan kelebihan mereka ketika Laurent Koscielny mengambil peluang pertahanan longgar untuk menyamakan kedudukan 10 minit kemudian. – AFP