Selangor, FELDA kongsi mata

SHAH ALAM: Impian Selangor untuk membuka saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan tidak kesampaian selepas terikat 1-1 dengan FELDA United di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Bekas penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali boleh dianggap sebagai wira FELDA United selepas menyelamatkan deretan percubaan berbahaya Red Giants dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.



Selangor dilihat bergelut untuk mencipta jaringan awal selepas beberapa gerakan yang cuba dilakukan berjaya disekat pertahanan FELDA United yang diketuai Thiago Junio.

Tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dilakukan anak buah B Sathianathan, hanya rembatan deras daripada penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Rufino Segovia hampir menewaskan Norazlan pada minit ke-22.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu terpaksa menunggu hingga minit ke-41 untuk berada di depan hasil rembatan jarak jauh pemain import baharu, Antonio German.

Red Giants mendapat peluang terbaik untuk menggandakan jaringan pada minit ke-64, namun percubaan Segovia di dalam kotak penalti sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol FELDA United.




Ketika tuan rumah sibuk melakukan asakan ke kubu lawan, kapten FELDA United Hadin Azman mengejutkan lebih 10,000 penonton di stadium keramat tuan rumah itu apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-69 selepas rembatannya dari sudut tepi pintu gol berjaya menewaskan penjaga gawang, Khairul Azhan Khalid.

Jaringan itu memaksa barisan Selangor bekerja keras untuk kembali mencari gol kedua, namun beberapa percubaan berbahaya terutama daripada Nurridzuan Abu Hassan dan Faiz Nasir pada pada minit ke-71 dan 79 berjaya diselamatkan Norazlan.

Ketika perlawanan berbaki enam minit, Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan sepakan lencong menarik Nurridzuan sekali gus memastikan The Fighters mencuri satu mata dari gelanggang keramat Red Giants.