Penyerang 18 tahun Real ghairah benam Barcelona

PENYERANG Real Madrid, Vinicius Junior dari Brazil meraikan jaringannya

MADRID 4 Feb. – Selepas menjaringkan gol pertamanya dalam La Liga bersama Real Madrid ketika menewaskan Alaves 3-0 semalam, penyerang mudanya, Vinicius Jr. kini beralih kepada selera lebih besar iaitu ingin membenam Barcelona apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir Piala Raja Sepanyol minggu depan.



Pemain kelahiran Brazil yang baharu berusia 18 tahun ini memasang impian tersebut selepas dipinggirkan ke Nou Camp Oktober tahun lalu oleh jurulatih Real ketika itu, Julen Lopetegui yang kemudian menyaksikan pasukannya dibelasah 1-5.

Kali ini di bawah Santiago Solari, bintang Vinicius semakin cerah apatah lagi Real kini sudah mencatat kemenangan berturut-turut dalam empat aksi terbaharu mereka termasuk layak ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol buat kali pertama sejak 2014.

Vinicius berkata, dia tidak gentar untuk berdepan Lionel Messi dan rakan sepasukannya di depan 90,000 penyokong Barcelona yang sedia menunggu dan bersorak.

“Saya tidak terganggu oleh apa pun. Saya bermain untuk Real Madrid, sebuah pasukan terbaik dunia. Jadi saya tidak takut sesiapa pun. Nou Camp memang pentas yang hebat.




“Jadi kami kena berehat secukupnya dan cuba untuk tewaskan Barca. Saya tidak tahu sama ada diturunkan atau tidak, terserah kepada jurulatih untuk tentukan yang terbaik untuk kami menang,” katanya.

Solari bagaimanapun menyimpan rapi perancangannya dengan enggan mendedahkan sama ada akan menurunkan Vinicius atau tidak menentang Barcelona.

“Kami bangga dengan perkembangan yang ditunjukkannya dan teruja tentang masa depannya. Dia menjadi pilihan pemain senior dalam pasukan ini yang sentiasa memberi nasihat kepadanya,” kata Solari. – Reuters