Solskjaer gembira tonton PSG tewas

Related image

PARIS: Kekalahan sulung Paris St Germain (PSG) musim ini harus menggembirakan pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menjelang aksi peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara.



Begitupun ironinya, pandangan itu disuarakan secara sinis pertahanan tengah juara Perancis itu, Thiago Silva.

Solskjaer menjadi antara penonton di Stadium Groupama bagi menyaksikan Olympique Lyonnais menewaskan PSG yang tampak lesu di bahagian tengah susulan kecederaan Marco Verratti serta ketiadaan Neymar 2-1, semalam.

Kedua-dua tonggak PSG itu turut akan terlepas aksi pertama peringkat Eropah menentang United pada 13 Februari ini.




“Ia akan menjadi perlawanan yang hebat menentang Manchester,” kata Silva yang mengasari Moussa Dembele di kawasan penalti untuk menghadiahkan Lyon penalti.

“Untuk menewaskan mereka kami perlu beraksi 110 peratus. Solskjaer mungkin meninggalkan perlawanan berkenaan dengan rasa gembira kerana kami tidak bermain dengan amat baik.”

PSG begitupun masih menghuni tangga teratas Ligue 1 selepas mengutip 56 mata daripada 21 perlawanan, kelebihan 10 mata di depan Lille yang sudah bermain lebih dua perlawanan. – Reuters