Ketua jurulatih Felda United anggap Selangor seperti Liverpool

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil menyifatkan kejayaan pasukannya mencatatkan seri menentang Selangor di Stadium Shah Alam diumpamakan seperti kejayaan Stoke City mengikat Liverpool di Liga Inggeris.

Beliau berkata demikian selepas daripada perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 hasil jaringan Antonio German dan Hadin Azman pada perlawanan ahad lalu.



“Beraksi di gelanggang lawan berdepan pasukan besar seperti Selangor macam (pasukan kerdil) berkunjung ke Liverpool.

“Ini kerana kalau dapat satu mata di Anfield adalah pencapaian yang besar buat pasukan seperti Stoke (City),” katanya kepada Berita Harian.

Beliau memuji sikap anak buahnya yang memberikan tentangan kepada pasukan berstatus gergasi dalam arena bola sepak tempatan walaupun ketinggalan sejak daripada separuh masa pertama.

“Saya rasa kita cuma perlu percaya dengan apa yang kita buat. Lawan Selangor, jika kita tak percaya yang kita boleh buat, mungkin kita sudah kena 2-0 atau 3-0,” ujarnya lagi.

Walaupun terpaksa mengharungi saingan Liga Super musim ini dengan peruntukan yang terhad. Kejayaan mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang lawan merupakan satu permulaan positif buat pasukan berpengkalan di Stadium Tun Abdul Razak.




“Saya tak kata keputusan 1-1 ini kejayaan besar, tapi buat kelab kecil macam kami yang baru membentuk semula pasukan, saya gembira dengan sikap pemain kerana mereka percaya yang mereka mampu buat.” jelasnya dengan penuh kegembiraan.

Turut mendapat pujian oleh Nidzam Jamil adalah penyerang muda The Fighters, Hadin Azman yang menjaringkan gol pada separuh masa kedua. Berusia 24 tahun, beliau dipertanggungjawabkan untuk memakai lilitan kapten dan tampil cemerlang di bahagian sayap kiri Felda United, dalam percaturan formasi 4-3-3 pilihannya.

“Saya tak tahu adakah tugas kapten menambahkan lagi rasa tanggungjawab dia (Hadin). Tapi dia ada karakter dan dia antara pemain yang paling bekerja keras.

“Jaringan yang dia hasilkan pun sangat baik dan saya cuma harap dia dapat kekalkan prestasi sepanjang tahun,” katanya.