Ronaldo punca Juventus makin diminati di China

Image result for juventus china

SHANGHAI: Populariti Juventus di China menunjukkan peningkatan mendadak apabila naik hingga hampir 70 peratus sejak ketibaan Cristiano Ronaldo dari Real Madrid.



Penyerang sensasi Portugal itu membuat kemunculannya dirasai dalam musim pertamanya di Turin apabila meledak 17 gol dalam 22 penampilan Serie A untuk meletakkan Juventus di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran berkenaan.

Ronaldo yang dibeli Juventus pada harga 110 juta euro (RM522.5 juta) sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila mencetak dua gol sebelum gergasi Itali itu diikat 3-3 oleh Parma pada hujung minggu lalu.




Di luar padang, bekas pemain Manchester United – yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34 hari ini – turut memberi impak besar di China, negara ekonomi kedua terbesar dunia dan lokasi utama pertumbuhan penyokong bola sepak.

Dalam tempoh seminggu selepas Ronaldo berhijrah pada Julai lalu, Juventus menambah 308,000 pengikut di laman Weibo, laman sosial dan aplikasi WeChat, dan aplikasi video Douyin (yang boleh dikenali sebagai TikTok), kata kelab Itali itu. – AFP