Hadi mula tunjuk bisa di Jepun

HADI FAYADH ABDUL RAZAK (kiri) sewaktu beraksi dalam perlawanan

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Penyerang skuad kebangsaan Bawah 19 tahun, Hadi Fayadh Abdul Razak memulakan aksi cemerlang bersama Fagiano Okayama apabila menjaringkan satu gol dalam aksi persahabatan menentang Universiti Kansai Fukushi di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Lebih manis, pemain pertama negara yang beraksi dalam Liga Profesional Jepun II itu turut membantu rakan sepasukan menjaringkan satu lagi gol yang menyaksikan pasukannya menang 3-0, Khamis lalu.



Hadi turut beraksi dengan baik sepanjang tempoh permainan meskipun dalam cuaca hujan dan suhu serendah 3 darjah celcius. Ja­ringan tersebut merupakan gol pertama Hadi di Jepun selepas mengikat kontrak selama setahun bersama Fagiano Okayama, Disember lalu.

Dalam pada itu, aksi cemerlang pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dalam saingan tersebut melegakan Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd yang merupakan individu bertanggungjawab membawa Hadi berkelana di Jepun.

Hamada berkata, dia gembira dengan perkembangan pemain tinggi lampai itu, sambil menyifatkan kejayaan Hadi mampu menjadi permulaan yang baik untuk bersama Fagiano Okayama.

“Hadi ada menghubungi saya selepas perlawanan tersebut. Dia memaklumkan kepada saya berhubung kejayaannya itu. Meskipun ia merupakan aksi persahabatan pramusim, saya lihat kejayaan itu sebagai permulaan yang cemerlang untuk Hadi.




“Ini juga merupakan gol pertamanya di Jepun bersama Fagiano. Hadi juga dilihat dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan di Jepun. Selain itu, dia juga bermain dengan baik di bawah suhu yang rendah dan cuaca hujan.

“Perkembangan ini merupakan satu petanda positif kepada kerjaya Hadi. Apapun, kami di sini berkongsi kegembiraan tersebut,” kata Hamada.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Hadi disahkan bakal pulang ke tanah air, Sabtu ini, bagi mengikuti latihan bersama skuad Bawah 22 tahun negara sebagai persiapan menghadapi Piala AFF B-22 di Kemboja.