Perak beri amaran buat Anderson

Image result for Zac Anderson perak

Perak memberi amaran kepada Zac Anderson supaya meningkatkan persembahan jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Pengurus skuad The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, mengeluarkan amaran berikutan persembahan hambar bekas bek tengah PKNS FC itu ketika beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Ahad lalu.

Adly berkata sudah menyuarakan teguran kepada ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic, mengenai kepincangan pemain itu.



“Persembahannya tidak mencapai tahap diharapkan,” katanya.

“Dia perlahan berbanding tiga pemain di bahagian benteng. “Saya berharap dia akan berusaha tingkatkan persembahannya apabila kami turun bertemu Kedah di Ipoh, malam esok.”

Adly berkata mujur kepincangan di bahagian benteng Perak terutama dalam babak pertama ketika menentang JDT berjaya ditutupi oleh Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan.




Namun, seorang lagi tonggak import, Wander Luiz, gagal berfungsi dengan berkesan apabila diletak selaku penyerang menggantikan Gilmar.

“Kami mungkin kalah dengan jurang lebih besar jika mereka serta penjaga gol, Hafizul Hakim tidak bertindak cemerlang menyekat serangan JDT,” ujarnya.

“Saya berharap pemain Perak akan bangkit dalam perlawanan dengan Kedah bagi mengembalikan keyakinan diri dan penyokong.

“Lebih penting, Perak perlu menang bagi meletakkan moral pasukan di atas landasan betul.”