VIDEO Barca, Madrid terikat di Camp Nou

BARCELONA: Real Madrid mengutip bekalan selesa pada aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol apabila mengikat Barcelona 1-1 di Camp Nou.



Lionel Messi dan Gareth Bale tidak berada dalam kesebelasan utama tuan rumah tetapi penggantinya berjaya mengisi kekosongan itu apabila Malcom menyamakan kedudukan untuk Barcelona selepas Lucas Vazquez membuka jaringan untuk Madrid.

Walaupun Barca dilihat lebih menguasai permainan selepas Madrid hanya cemerlang pada 20 minit pertama, keputusan Clasico itu memberi kelebihan buat Madrid menjelang aksi timbal balik di Santiago Bernabeu pada 27 Februari nanti.




Keputusan itu membolehkan pengendali Madrid Santiago Solari memadamkan memori memalukan di gelanggang sama Oktober lalu, apabila mereka dibelasah 5-1 dan menyebabkan pengendali ketika itu, Julen Lopetegui dipecat keesokan harinya.

“Perbandingan tidak membantu,” kata Solari. “Tetapi keputusan ini menunjukkan sejauh mana pasukan ini sudah berusaha.”

Messi, yang bergelut dengan kecederaan paha, dan Bale, yang terpaksa merebut tempat dalam skuad selepas pulih daripada kecederaan betis, dimasukkan di pertengahan babak kedua tetapi gagal mencetus kemenangan.

Sebaliknya Vazquez, dan dua pemain remaja Brazil mencuri tumpuan pada perlawanan itu. Vazquez menjaringkan gol seawal minit keenam tetapi Vinicus Junior, pemain paling muda Real Madrid diturunkan dalam Clasico sepanjang abad ini, beraksi cemerlang sebelum dikeluarkan di babak kedua.

Malcom, 21, menjadi penyelamat Barca dengan gol penyamaan minit ke-57. – AFP