Saya dulu hutang keliling pinggang bayar gaji pemain – Shahidan

Image result for perlis bola

ARAU 10 Feb. – Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan beliau dibebani hutang keliling pinggang ketika mengalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) satu ketika dahulu bagi membayar gaji pemain.



Justeru, beliau mengingatkan Presiden PFA yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie agar mencari jalan melunaskan gaji pemain yang difahamkan sudah tertunggak lebih dua bulan.

Katanya, perkara paling asas dalam menerajui persatuan bola sepak adalah membayar gaji pemain dan beliau perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

“Saya tidak kenal dia (Ahmad Amizal) tetapi kalau dia boleh mengembalikan zaman kegemilangan Perlis, hebatlah. Tetapi kalau menipu, dia kena tanggunglah.

“Dia kena ambil tanggungjawab bayar gaji pemain, saya dulu berhutang habis dengan orang untuk bayar gaji. Bila sudah janji, perlu tunaikan.

“Saya pun hairan bagaimana dia boleh melakukan sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina bagi peringkat Parlimen Arau di Dewan Cheng Aun Kong di sini, hari ini.




Beliau berkata demikian bagi mengulas
kemelut yang melanda PFA kebelakangan ini termasuk kegagalan pihak pengurusan melunaskan gaji para pemain.

Untuk rekod, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau adalah antara Presiden PFA paling berjaya dalam sejarah negeri ini apabila pernah membawa Singa Utara menjulang pelbagai kejuaraan termasuk Piala Malaysia (2004,2006) dan Liga Super pada tahun 2005.

Sementara itu, Shahidan berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan PFA adalah mencari penaja selain mendapatkan kerjasama kerajaan negeri.

“Tanpa penaja dan sokongan kerajaan negeri, agar sukar untuk kita bergerak,” katanya. – UTUSAN